Thursday, October 11, 2007


Assabiyyah – Agenda Kuffar Menghancurkan Islam
Assabiyyah merupakan ikatan yang mengikat bangsa Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Mereka sering bergaduh serta berperang antara satu sama lain semata-mata kerana ingin mempertahan puak masing-masing. Setelah Rasulullah diutus, baginda terus menghapuskan ikatan ini dan menyatukan manusia di bawah satu ikatan baru yang bukan sahaja dapat mengikat bangsa Arab, malah seluruh umat manusia. Siapa sahaja yang menyahut seruan Rasulullah, maka terburailah semua ikatan bangsa atau keturunan, walau antara bapa dengan anak sekalipun dan mereka hanya bersatu di bawah ikatan yang baru ini, yakni ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.
Ikatan akidah ini terus menjadi asas kepada hubungan antara Muslim selama beribu tahun, dari zaman Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniyyah. Islam telah menyatukan bangsa Arab, Barbar, Rom, Parsi, India dan lain-lain dan menjadikan mereka ummatan wahidah (umat yang satu). Islam juga telah mempersatukan manusia tanpa mengira warna kulit, keturunan, bahasa mahupun status sosial. Semuanya disatukan berdasarkan kalimah yang sama dan digabungkan di bawah negara yang sama (Daulah Khilafah). Tidak diragukan lagi, kalimah tauhid inilah yang telah meruntuhkan semua sifat dan sempadan assabiyyah serta wathaniyyah yang telah membelenggu manusia selama ini. Dan ikatan suci tanpa sempadan inilah yang pihak kuffar Barat berusaha siang dan malam untuk menghapuskannya.
Dengan membelek lipatan sejarah, kita akan dapati bahawa pihak kuffar telah berusaha berabad-abad lamanya untuk menghancurkan Daulah Islam yang telah dibina dan berdiri kukuh di atas asas akidah yang telah dibawa oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Peperangan demi peperangan tak kunjung padam, bermula dari Perang Badar, Uhud, Ahzab, Mu’tah, Tabuk, Yarmuk, Qadisiyah, dan yang paling panjang, Perang Salib. Namun, semua usaha golongan kuffar untuk memadamkan cahaya Allah ini tidak mendatangkan hasil. Kekuatan Daulah Islam yang tiada taranya membuatkan musuh-musuh Islam akur bahawa Daulah Islam adalah satu kuasa yang tidak akan dapat dikalahkan. Hal ini berlaku tidak lain kerana kaum Muslimin memerangi kuffar semata-mata atas satu dasar yakni Islam. Kaum Muslimin dulunya adalah orang-orang yang hidup hanya untuk Islam dan sanggup menyerahkan jiwa dan raga demi Islam, bukannya demi assabiyyah atau wathaniyyah. Bak ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan “Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup.” Para mujahideen ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah dan bukannya berperang atas dasar bangsa atau tanahair.
Setelah gagal mengalahkan Daulah Islam, sebaliknya tersungkur di dalam banyak peperangan, golongan kuffar mula mencari cara lain untuk menghancurkan Islam. Akhirnya mereka menemukan jalan bahawa satu-satunya cara untuk mengalahkan kaum Muslimin adalah dengan memisahkan mereka dari ajaran Islam yang selama ini telah sebati dengan kaum Muslimin. Mereka yakin bahawa hal ini akan dengan sendirinya meruntuhkan Daulah Islam dari dalam. Dalam satu sidang House of Commons, Perdana Menteri Britain berketurunan Yahudi, Benjamin Disraeli pernah mengatakan, “Kaum Muslimin tak akan dapat dikalahkan sampai bila-bila sehingga ini dicabut dari mereka”, sambil jarinya menunjuk kepada Al-Quran. Inilah hasrat dan cita-cita mereka dan mereka benar-benar melaksanakannya. Agenda untuk memasukkan racun assabiyyah ke tubuh kaum Muslimin telah diberi perhatian serius oleh mereka. Mereka mula mengirim para muballigh (missionaries) ke dalam Daulah Islam kononnya untuk ‘ilmu dan kemanusiaan’ walhal tujuan sebenarnya adalah untuk menanam benih perpecahan di tengah-tengah jantung Daulah. Malangnya Daulah tidak dapat menghidu perkara ini, lalu membenarkan kemasukan missionaries ini. Walaupun mengalami kesukaran di peringkat awal, namun akhirnya, benih yang ditanam mula mengakar umbi dan hidup di dalam tubuh Daulah dan terus tumbuh sebagai parasit yang menjahanamkan perumahnya sedikit demi sedikit.
Melalui gerakan missionaries inilah, golongan kuffar berjaya di dalam makar mereka untuk memecahbelahkan umat Islam dan Daulah Islam dengan api assabiyyah dan wathaniyyah yang mereka hembuskan. Kaum Muslimin benar-benar terasuk dengan pemikiran kufur, mengalami perpecahan dan terlibat dengan perbalahan serta pergaduhan sesama sendiri yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Mereka mula membenci sesama sendiri dan tidak dapat menerima pemerintah yang bukan dari bangsa mereka. Mereka merasa seolah-olah ditindas dan dizalimi oleh pemerintah berbangsa asing, walhal kesemuanya adalah Muslim. Mereka mula menyanjung dan memuja pemikiran-pemikiran dari Barat yang kononnya membawa kebebasan dan kemajuan. Dengan racun nasionalisme dan patriotisme yang sudah menular di badan, maka muncullah perjuangan untuk memerdekakan diri sebagai satu bangsa bagi menubuhkan negara sendiri yakni negara yang berdiri atas asas bangsa. Dari sini muncullah pejuang-pejuang kebangsaan (yang sebenarnya adalah agen British) seperti Mustafa Kamal, Syarif Hussein beserta kedua anaknya Faizal dan Abdullah yang hakikatnya ditaja dan dibiayai oleh British untuk menjatuhkan Daulah Khilafah. Akhirnya, melalui perjuangan assabiyyah dan wathaniyyah yang dilancar tanpa henti, tumbanglah sebuah Daulah Islam yang selama ini menyatukan kaum Muslimin atas dasar ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ dan bermulalah pemerintahan negara-bangsa yang terpecah-belah dan terdiri dari pemimpin yang kebanyakannya adalah agen Barat.
Wahai kaum Muslimin! Baik dari segi sejarah mahupun apa yang sedang kita saksikan sekarang, ikatan assabiyyah dan wathaniyyah ini telah terlalu banyak membawa malapetaka dan perpecahan kepada umat Islam. Perasaan-perasaan kufur ini boleh disifatkan sebagai sebuah time-bomb (bom jangka) yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja apabila ianya diusik. Selagi ikatan kufur ini tidak dihapuskan ke akar umbinya, selagi itulah lingkaran kekufuran akan terus menguasai dunia Islam.

No comments: